Bercakap mengenai perniagaan, ramai usahawan yang terkandas ditengah
jalan. Namun ramai juga yang usahawan yang Berjaya dalam perniagaan
masing-masing.
Untuk berjaya dalam perniagaan, ada banyak perkara yang perlu dilakukan
oleh usahawan. Paling utama, usahawan perlu menyiapkan diri dengan
ilmu dan pengetahuan tertentu mengenai perniagaan yang diusahakan serta
kemahiran dalam aspek pengurusan. Pada masa yang sama, usahawan bukan
sahaja perlu melakukan perkara tertentu untuk berjaya, tetapi juga
perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara tertentu bagi
mengurangkan risiko kegagalan.
Antara punca kegagalan UTAMA dalam perniagaan adalah
konsep yang salah. Kebanyakan usahawan terlalu memandang mengenai apa
yang dilakukan oleh orang lain dan cuba menjadi seperti mereka dengan
mengikuti langkah mereka. Ada orang bermula dengan susah, ada yang
bermula senang, ada orang bermula dengan kosong. Untuk menceburi bidang
keusahawanan adalah penting membuat persediaan dan mengetahui
mengenai tindakan yang perlu dielakkan dalam perniagaan supaya dapat
membantu mengurangkan risiko kegagalan kepada usahawan.
PERTAMA usahawan digalakkan untuk tidak memilih bidang
perniagaan tertentu hanya kerana melihat orang lain berjaya
mengusahakannya, tanpa mengetahui selok-belok perniagaan tersebut.
Pemilihan secara membuta tuli amat merbahaya kerana tidak dibuat
berasaskan penilaian yang wajar.
KEDUA, usahawan perlu mengelakkan melakukan tindakan
mencampur-aduk urusan wang syarikat dengan urusan wang sendiri. Ramai
usahawan gagal mengawal disiplin diri dalam aspek ini, dimana mereka
menggunakan wang perniagaan bagi tujuan sendiri. Ini menyebabkan
perniagaan menghadapi masalah aliran tunai yang seterusnya menyebabkan
perniagaan gagal. Usahawan perlu faham konsep 'entiti berasingan'
antara dirinya dengan perniagaannya dan menghormati perniagaannya
sebagai satu entiti lain.
Perkara KETIGA ialah jangan mengamalkan penipuan dalam
perniagaan. Ini adalah tuntutan bukan sahaja amalamn perniagaan yang
baik malahan juga diwajibkan dalam agama dimana peniaga dilarang menipu
dalam timbangan, sukatan dan maklumat mengenai produk. Ada peniaga
yang sanggup menipu bukan sahaja pelanggan, malah juga kerajaan dari
segi pembayaran cukai dan sebagainya. Elakkan menipu dalam semua hal
kerana lambat laun akan diketahui orang. Penipuan akan menghilangkan
'barakah' dalam urusan perniagaan kita.
KEEMPAT, usahawan yang ingin berjaya harus mengelakkan
diri daripada bersifat tamak. Ramai usahawan menjadi tamak dan cuba
membuat terlalu banyak perkara dalam masa yang sama. Ini menyebabkan
mereka hilang fokus. Orang tua-tua sudah berpesan, orang tamak selalu
rugi. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Ingat
juga kata orang putih, "Rome was not built in a day".
Perkara KELIMA pula ialah elakkan meminjam wang jika
tidak perlu. Apabila usahawan meminjam wang, tujuannya haruslah untuk
membantu menyelesaikan masalah perniagaan, bukannya untuk menjadi
masalah kepada dirinya. Oleh itu pinjam hanya apabila perlu dan yakin
ia akan membantu perniagaan dan boleh dibayar balik. Tujuan pinjaman
hendaklah dilaksanakan.
Perkara yang KEENAM ialah jangan mudah percaya kepada
semua maklumat yang diterima, lebih-lebih lagi jika sumber maklumat itu
kabur. Dalam perniagaan, maklumat yang betul sangat penting supaya
keputusan yang tepat dapat dibuat. Oleh itu pastikan setiap maklumat
disahkan secara teratur. Jika usahawan tidak mengesahkan maklumat yang
diterima, dia terdedah kepada risiko membuat keputusan yang salah.
Perkara KETUJUH dan terakhir ialah jangan mempunyai
perasaan dengki kepada usahawan lain. Ini satu kelemahan usahawan yang
agak ketara. Sebaiknya, jadikan usahawan yang lebih berjaya sebagai
penanda aras dan cabaran persaingan. Dalam perniagaan, jaringan amat
penting untuk berjaya. Oleh itu kita seharusnya bekerjasama membantu
satu sama lain dalam satu jaringan yang melahirkan sinergi, bukan
menyimpan rasa dengki yang berhasrat memusnahkan.
KLIK DI SINI UNTUK KE ALAM FORUM
No comments:
Post a Comment